Semasa

Subsidi Diesel: KPDN lancar Ops Kesan 2.0, pastikan peniaga tidak ambil kesempatan

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Ops Kesan 2.0 di seluruh negara bermula hari ini.

Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia merupakan persiapan pihaknya memastikan tidak berlaku elemen pencatutan terhadap harga barangan dan perkhidmatan susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

“Ops Kesan 2.0 adalah kesinambungan kepada Ops Kesan 1.0  bagi memantau kesan pelaksanaan kenaikan Cukai Perkhidmatan pada 1 Mac lalu.

“Ia untuk memastikan tidak berlaku elemen pencatutan terhadap harga barang dan perkhidmatan dengan alasan pelarasan harga runcit diesel di stesen minyak,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Libat Urus Bersama Lebih 150 Pengusaha Stesen Minyak Negeri Kelantan di Hotel The Grand Renai di Kota Bharu pada Jumaat.

Mengulas lanjut Armizan berkata, susulan Ops Kesan 2.0, pihaknya turut melanjutkan waktu operasi Pusat Arahan Penguatkuasaan (Enforcement Command Centre)  sehingga 10 malam.

Langkah itu bertujuan untuk memudahkan orang ramai membuat  aduan kenaikan harga dan perkhidmatan kepada pihak kementerian.

“Selain itu, kita juga menyediakan saluran aduan khas melalui talian 012-6654292 untuk membolehkan orang ramai untuk membuat aduan berkaitan pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS),” katanya.

BACA LAGI: Bantuan subsidi ‘BUDI MADANI’ disalurkan bermula 10 Jun depan

Armizan turut menegaskan, KPDN akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang dikesan melakukan aktiviti pencatutan pasca pelaksanaa penyarasan subsidi diesel.

Pihak yang didapati mengambil kesempatan dengan manipulasi harga dan caj perkhidmatan akan dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga Antipencatuan 2011 (Akta 723) yang boleh didenda sehingga RM500,000 bagi syarikat, manakala RM100,000 kepada individu atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Related Articles

Back to top button