Semasa

Speaker Johari Abdul saran Malaysia kaji teknologi ion berat untuk rawat kanser

Malaysia disarankan membuat kajian menyeluruh bagi memperkenal teknologi rawatan terapi ion berat untuk penyakit kanser seperti digunakan oleh Pusat Terapi Ion Berat Osaka di Jepun.

Saranan itu dinyatakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul melalui satu hantaran di laman Facebooknya pada Ahad sebegai mengulas kunjungan ke Osaka Heavy Ion Therapy Center, Jepun sempena lawatan rasmi delegasi Parlimen Malaysia ke Parlimen Jepun atas jemputan Speaker Dewan Perwakilan Jepun Fukushiro Nukaga.

Menurutnya, kajian perlu dilakukan dengan melibatkan fasiliti-fasiliti perubatan swasta dan awam serta pusat pengajian universiti, sekali gus sebagai usaha mengembangkan industri pelancongan kesihatan di Malaysia.

“Pusat ini memperkenalkan teknologi terkini iaitu ‘carbon ion radiotherapy’ (CIRT) dan ‘proton beam therapy’ sebagai rawatan perubatan bersasar jitu (‘precision medicine’) untuk merawat pelbagai jenis penyakit kanser.

“Pusat ini memberikan perkhidmatan terapi kanser yang komprehensif dengan melihat kepada segala aspek dari segi intervensi terapi ion bersasar yang berupaya membunuh sel kanser secara tepat tanpa merosakkan sel-sel di sekelilingnya.

“Intervensi ini mempunyai kesan komplikasi radiasi yang rendah lantas akan dapat meningkatkan kualiti kehidupan pesakit, dan mengurangkan beban keluarga dalam penjagaan pesakit,” kata Johari.

BACA LAGI: Lawatan Speaker Dewan Rakyat ke Jepun berjaya kukuh hubungan diplomatik

Pada lawatan ke pusat terapi itu Johari dan turut bertemu Ketua Pengarah Osaka Heavy Ion Therapy Center, Dr Jiro Fujimoto .

“Semoga inovasi terapi ion berat ini dapat memanfaatkan rakyat yang memerlukan pilihan alternatif dalam menangani penyakit kanser,” katanya.

Beliau turut yakin teknologi rawatan terbaharu itu bukan hanya memberi manfaat kepada rakyat Malaysia, tetapi juga untuk penduduk rantau ASEAN.

Related Articles

Back to top button