Semasa

SPNB sumbangkan rumah kepada balu bekas pemain bola sepak Kelantan

Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) menyumbangkan sebuah Rumah Mesra Rakyat (RMR) 2.0 kepada balu bekas pemain bola sepak Kelantan.

Pengerusinya Datuk Husam Musa dipetik laporan media berkata sumbangan rumah bernilai RM68,000 itu adalah sebagai menghargai sumbangan Allahyarham Wan Ezila Wan Daud dalam arena sukan bola sepak.

“Sebagai mengenang jasa dan sumbangan Allahyarham dan prihatin akan kesusahan yang dihadapi oleh balunya SPNB melalui Program Tanggungjawab Sosial (CSR) menyumbangkan RM48,000 manakala RM20,000 subsidi kerajaan bagi membina rumah berkenaan,” kata Husam kepada pemberita.

Beliau sebelumnya menyerahkan surat tawaran RMR 2.0 kepada balu Allahyarham, Suhaini Muhamad Asri di Pasir Puteh pada Ahad.

Husam berkata sejak RMR diperkenalkan pada tahun 2002 sehingga Mei 2024, SPNB telah berjaya membina 10,349 unit RMR di Kelantan dan 65,617 unit di seluruh negara.

BACA LAGI: Kerajaan ikhtiar jadikan Malaysia lebih makmur – PM Anwar

SPNB tegasnya sentiasa memberikan komitmen bagi memastikan projek perumahan kepada seluruh rakyat di bawah seliaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan diberi keutamaan.

Ia merupakan sebahagian usaha memperkasa agenda perumahan serta kesejahteraan seluruh rakyat menerusi kerangka Malaysia Madani.

Related Articles

Back to top button