Kerajaan disaran tubuh jawatankuasa khas selesai isu kewarganegaraan Bajau Laut
Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) menyarankan kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mencari penyelesaian lebih komprehensif berhubung isu kewarganegaraan di Sabah.
Melalui satu kenyataan media, mereka menegaskan penubuhan jawatankuasa itu perlu melibatkan pihak berkuasa, ketua masyarakat setempat, ahli akademik dan pertubuhan bukan kerajaan dalam usaha merangka satu pelan jangka masa panjang bagi menoktahkan isu tersebut.
“Jawatankuasa ini perlu berfungsi dalam menyediakan perancangan secara lebih tersusun serta menilai kembali perundangan, dasar dan prosedur yang sedia ada terutamanya dalam isu kewarganegaraan.
“Isu ini memerlukan penyelesaian yang bersifat lebih konstruktif dengan mengambil kira kepentingan semua pihak dan mengutamakan pandangan masyarakat setempat khususnya rakyat Negeri Sabah. Perancangan secara tersusun haruslah dilakukan demi mencari titik penyelesaian bersama” kata mereka.
Gesaan itu dinyatakan susulan insiden pengusiran komuniti Bajau Laut di tujuh pulau kawasan Taman Marin Tun Sakarin baru-baru ini.
“Isu warga tanpa negara Bajau Laut adalah isu yang kompleks dan tidak boleh diselesaikan secara mudah.
“Namun kami berdukacita akan kes pengusiran dan pemusnahan beberapa kampung Kami melihat tindakan ini bertentangan dengan nilai manusiawi serta secara tidak langsung mencemarkan imej negara,” jelasnya mereka.
BACA LAGI: Perobohan penempatan haram di Samporna dibuat atas faktor keselamatan – Christina
Tambah kenyataan itu, pihaknya yakin penyelesaian isu kewarganegaraan adalah satu keutamaan kerajaan demi mengangkat rukun Ihsan dalam Malaysia Madani serta prinsip keadilan sosial yang dijulang oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).
AMK dan MKM turut percaya kerajaan sedia ada mampu membuktikan serta komited dalam mendepani cabaran selari dengan gagasan reformasi.