Pelan tambah baik sistem kesihatan akan diumumkan – Menteri Kesihatan
Pelan Reformasi Pembiayaan Penjagaan Kesihatan yang bertujuan memperkukuh dan menambah baik sistem penjagaan kesihatan bakal diumumkan dalam masa terdekat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, agenda reformasi itu antara lain menumpukan cara kreatif dan inovatif bagi kementerian itu membelanjakan bajet tahunan yang diumumkan kerajaan.
Ia juga bagi memastikan sistem penjagaan kesihatan tidak tergugat dengan status fiskal ditanggung negara.
“Kita pada asasnya berasaskan sistem cukai dan (kementerian) menerima RM41.2 bilion (belanjawan) untuk tahun ini dan RM6.07 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.
Sebenarnya selama ini kita kekurangan dana, kekurangan petugas dan mempunyai beban kerja yang banyak,” katanya ketika berucap di majlis pecah tanah bangunan tambahan Hospital Pakar Avisena di Shah Alam pada Isnin.
Tambahnya, sebagai sebuah negara berpendapatan sederhana atas, Malaysia sepatutnya membelanjakan enam hingga tujuh peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk penjagaan kesihatan.
Bagaimanapun Malaysia ketika ini hanya membelanjakan 5.1 peratus KDNK bagi tujuan itu.
Dalam pada itu, Dr Dzulkefly menyatakan komitmen kementeriannya untuk terus berusaha mengoptimumkan penggunaan katil menerusi penawaran rawatan harian di hospital-hospital utama.
Selain itu turut diusahakan adalam pendigitalan Unit Pengurusan Katil (BMU) secara berpusat melalui sistem Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) hospital.
“Ini selaras dengan sasaran ditetapkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 untuk meningkatkan nisbah dua katil untuk setiap 1,000 penduduk kepada 2.06,” katanya.