Global

Malaysia alu-alukan resolusi UNSC, sokong penubuhan Palestin merdeka dan berdaulat

Malaysia mengalu-alukan Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) 2735 untuk mengurangkan penderitaan dan menghentikan pembunuhan rakyat Palestin.

Kementerian Luar (Wisma Putra) melalui satu kenyataan menggesa pelaksanaan penuh dan segera kepada resolusi yang menyeru gencatan senjata segera, penuh dan lengkap, pembebasan tawanan, pertukaran tahanan Palestin dan pengunduran penuh tentera Israel, berdasarkan cadangan tiga fasa oleh Amerika Syarikat (AS) itu.

“UNSC mesti memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan dalam piagamnya untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan,” katanya.

Wisma Putra melalui kenyataan sama turut menyeru agar bantuan kemanusian dapat diagihkan secara meluas susulan resolusi itu selain memulakan rancangan pembinaan semula untuk Gaza.

Malaysia juga tegasnya menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya, serta kemasukan Palestin sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Terdahulu, Agensi Anadolu melaporkan bahawa UNSC pada Isnin menerima pakai resolusi yang menyokong cadangan gencatan senjata Gaza yang diumumkan oleh Presiden AS, Joe Biden.

BACA LAGI: Enam anggota Mercy Malaysia selamat dibawa keluar dari Rafah

Dalam perkembangan berkaitan, Ops Ihsan menyeru agar pintu sempadan segera dibuka untuk penghantaran barangan bantuan kemanusiaan ke Gaza termasuk makanan dan ubatan yang amat diperlukan ketika ini.

Pengerusi Ops Ihsan Jismi Johari berkata konflik itu mengakibatkan penduduk Gaza menghadapi pelbagai kesukaran bencana kemanusiaan selama lebih 240 hari dan lebih 37,000 orang syahid manakala puluhan ribu lagi cedera.

Related Articles

Back to top button