Semasa

Stesen penyiar diseru rujuk agensi agama sebelum undang penceramah bebas

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mahu semua stesen penyiar meneliti terlebih dahulu pendakwah jemputan yang diundang bagi program agama di platform masing-masing.

Jelasnya, sebarang perkara membabitkan agama, sepatutnya mempunyai penyelarasan dan garis panduan yang lebih baik supaya tidak berlaku sebarang kekeliruan di kalangan rakyat susulan apa yang disampaikan melalui program tersebut.

Justeru dimasa hadapan, beliau menyarankan agar penyiar mengadakan perbincangan dengan agensi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), bagi menilai terlebih dahulu asatizah yang bakal diundang.

“Kita akan berhubung dengan pihak Jakim dan Yadim (kerana) saya lihat mereka perlu bantu untuk meneliti asatizah yang dijemput dan walaupun kita beri ruang kepada semua, tetapi bila melibatkan aspek agama saya rasa perlu ada sedikit penyelarasan dengan Jakim dan Yadim.

“Saya akan meminta semua penyiar untuk adakan perbincangan dengan Jakim dan Yadim untuk penyelarasan tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program sumbangan Aidiladha kepada penduduk di Lembah Pantai.

Terdahulu timbul kontroversi susulan tindakan Jabatan Penyiaran Malaysia merehatkan pendakwah bebas Ustaz Don Daniyal Don Biyajid dari sebuah program agama terbitan Rancangan Televisyen Malaysia (RTM).

Ustaz Don Daniyal sebelum ini pernah direhatkan selama seminggu daripada program Salam Baitullah terbitan RTM, susulan kenyataannya mengenai kekasih pertama Nabi Muhammad SAW yang tidak disokong dalil yang sah.

BACA LAGI: Aidiladha: Selangor sumbang 700 ekor lembu, 1,000 kambing

Kemunculan kembali beliau dalam rancangan itu pada Khamis sekali lagi menimbulkan kekeliruan selepas mengeluarkan kenyataan mengenai manfaat memandang wajah guru lebih baik berbanding bersedekah 1,000 ekor kuda di jalan Allah SWT, yang dikatakan tidak merujuk kitab-kitab sahih.

Berikutan itu, Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia Datuk Suhaimi Sulaiman mengambil keputusan untuk merehatkan sepenuhnya pendakwah bebas itu daripada program tersebut.

Related Articles

Back to top button