Semasa

KPDN perketat kawalan, kerjasama dengan pihak berkuasa benteras penyeludupan diesel

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bakal memperketat penguatkuasaan bagi membenteras penyeludupan diesel ke sempadan.

Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) KPDN Shamsul Nizam Khalil berkata pihaknya akan mengadakan kerjasama dengan pihak berkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia bagi tujuan itu susulan pelaksanaan penyasaran subsidi bermula 10 Jun lepas.

“…kita percaya akan berlaku pengurangan (ketirisan diesel) dan kita bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menangani (isu) ketirisan itu terutama di sempadan. Sebab kita tahu, walaupun harga diesel naik tetapi masih murah berbanding negara jiran.

“Oleh itu, kita mesti pastikan kawalan kita diperketatkan,” katanya.

Shamsul Nizam berkata begitu kepada pemberita selepas pemeriksaan dan pemantauan Ops Kesan 2.0 di Arau, pada Ahad yang turut disertai Pengarah KPDN Perlis Norazah Jaapar.

BACA LAGI: KPDN lancar Ops Kesan 2.0, pastikan peniaga tidak ambil kesempatan

Mengulas mengenai Ops Kesan 2.0 yang sedang dijalankan beliau berkata, sebanyak 599 premis diperiksa di seluruh negara bagi tempoh 20 Mei hingga 14 Jun lepas.

Daripada jumlah itu sebanyak 202 Notis Bertulis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] dikeluarkan kepada peniaga terbabit.

“Statistik bagi Perlis sahaja sebanyak 24 premis diperiksa manakala sebanyak 14 notis dikeluarkan. Notis Bertulis ini dikeluarkan bertujuan mendapatkan maklumat awal berkaitan harga jualan dan kos barangan tertentu bagi melihat sama ada berlaku kenaikan harga atau sebaliknya,” katanya.

Sementara itu jelasnya, KPDN melanjutkan waktu pengoperasian Pusat Arahan Penguatkuasaan yang juga dikenali Enforcement Command Centre (ECC) dari 8 malam kepada 10 malam setiap hari supaya penyaluran aduan dan siasatan segera dilakukan sepanjang pelaksanaan ops itu.

Related Articles

Back to top button