Semasa

Program Jualan Rahmah MADANI sudah dilaksana di 4,156 lokasi

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pulau Pinang pada Khamis telah melaksana Program Bijak Belanja Pengguna

Pelaksanaannya bertujuan untuk menengahkan isu-isu kepenggunaan secara interaktif disamping merancakkan lagi program advokasi berkenaan hak-hak dan perlindungan pengguna seperti penipuan dalam media sosial, phishing, penyalahgunaan rangkaian dan teknologi serta penipuan/pemalsuan perihal dagangan atas talian.

“Program ini selari dengan matlamat Kementerian dalam menggerakkan agenda besar kepenggunaan yang responsif dengan tuntutansemasa dan cabaran mendatang,” kata Timbalan Menteri KPDN Fuziah Salleh melalui satu kenyataan.

Sementara itu melalui kenyataan sama Fuziah berkata, turut dilancarkan semalam adalah Program Jualan Rahmah MADANI peringkat negeri Pulau Pinang.

Acara yang diadakan di Bandar Tasek Mutiara itu bertujuan menyantuni isu kos sara hidup rakyat dengan penawaran penjimatan sebanyak 10% sehingga 30% dari harga pasaran semasa khususnya kepada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.

BACA LAGI: KPDN keluar 191 notis, buka tiga kertas siasatan berkaitan subsidi diesel

“Mengikut statistik bermula 15 Januari 2024 hingga 16 Jun 2024, PJR telah dilaksanakan di 4,156 lokasi di seluruh negara. Pecahan mengikut model iaitu di dalam premis sebanyak 1,702, di luar premis sebanyak 320 lokasi dan secara bergerak sebanyak 2,134 lokasi.

“Manakala penganjuran PJR di seluruh negara juga telah merekodkan kehadiran melebihi 3.4 juta orang pada tahun ini,” tambahnya sambil menegaskan KPDN akan terus komited untuk memperkasakan hak-hak pengguna dan isu-isu kepenggunaan disamping memastikan rakyat tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup.

Related Articles

Back to top button