Negeri

Kerajaan lulus RM100 juta biaya projek baik pulih sekolah, klinik daif di Sarawak

Kerajaan Persekutuan setuju meluluskan peruntukan RM100 juta bagi pembiayaan projek membaik pulih sekolah dan klinik daif di kawasan luar bandar Sarawak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia sebahagian daripada pembiayaan pendahuluan bernilai RM200 juta diumum Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg baru- baru ini.

“Kalau boleh segerakan.Kita luluskan, kalau tak Sarawak dulukan dahulu.Jadi mudah.Tak payah berkritik. Tak payah tunggu.Nak baiki klinik di Kapit, tak payah tunggu Putrajaya luluskan.

“Percayakan pengurusan di Kapit dan kuching.Nak luluskan, luluskan dulu,asalkan ikut peraturan. Jangan ada sakau menyakau.Ikut peraturan, jalan”, ujar Anwar.

Menurutnya, ia menunjukkan kepercayaan antara semua pihak terlibat untuk melaksanakan projek untuk rakyat.

Dalam pada itu, Anwar memberitahu kerajaan Sarawak tidak perlu bimbang mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kerana semua perkara dijanjikan akan dilaksanakan.

Terdahulu, beliau menyampaikan amanat pada Majlis Makan Malam Gawai Dayak 2024 peringkat negeri di Pusat Konvensyen Borneo, di Kuching pada Sabtu.

Related Articles

Back to top button