Mahkamah

DUN Nenggiri: Mahkamah Tinggi dengar permohonan injuksi halang PRK hari ini

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dijadualkan untuk mendengar permohonan injunksi bekas Ketua Bahagian BERSATU Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim bagi menghentikan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Mohd Azizi melalui saman pemula difailkan Tetuan Shankar Govinth pada 24 Jun lalu memohon perisytiharan bahawa surat makluman daripada Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) bahawa DUN Neggiri kosong, digantung pelaksanaannya.

Beliau menuntut mahkamah mengisytiharkan kerusi DUN itu masih disandangnya.

Mohd Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, adalah antara tujuh ahli parlimen Bersatu yang dilucutkan keahlian mereka kerana menyuarakan sokongan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Beliau bertanding di bawah tiket PAS mewakili gabungan Perikatan Nasional pada pilihan raya umum dan negeri lalu.

Sementara itu melalui saman pemulanya juga, beliau menegaskan pindaan kepada Fasal 10 Perlembagaan BERSATU yang menetapkan keahlian seseorang akan dihentikan jika menyokong saingan politik adalah tidak berperlembagaan.

BACA LAGI: Menteri KPKM sertai operasi pembenihan awan di Kelantan

Justeru, beliau memohon perisytiharan bahawa pemecatan jawatan dan keahliannya dalam BERSATU melalui notis bertarikh 12 Jun lalu adalah tidak sah dan berniat jahat.

Beliau selaku plaintif, menamakan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) selaku defendan dalam saman tersebut.
.

Related Articles

Back to top button