Anwar

PM Anwar puji pementasan teater Haji Murat, sifatkan sebuah penceritaan terbaik di dunia

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir ke pementasan Teater Perdana Haji Murat yang dipentaskan di Balai Budaya Tun Syed Nasir,Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka pada malam Rabu.

Pementasan tersebut berlandaskan novella pendek ‘Hadji Murad’, karya sasterawan besar Rusio, Leo Tolstoy.

Menurut Anwar dalam satu hantaran di Facebook, pementasan tersebut merupakan sebuah penceritaan yang terindah dan terbaik di dunia, saya masih belum mengerti mengapa ia belum mendapat tempat di dunia barat ketimbang karya Tolstoy lainnya seperti ‘Anna Karenina’ dan ‘War and Peace’.

“Untuk persembahan teater tersebut, saya amat teruja dengan penggunaan bahasa dan seni lakon pentas yang cukup mendalam dan mengesankan. Babak muzikal juga tidak kurang hebat dan sangat mencengkam sanubari.

“Kepada tim pensutradaraan, salut saya kepada kalian atas kesungguhan dalam menjelmakan ruh dan mesej daripada ceritera tersebut, dan saya amat berharap masyarakat Malaysia dapat bersama dalam mendukung seni teater tempatan agar ia dapat terus disemarakkan.

“Leo Tolstoy merupakan seorang tokoh dan sasterawan ulung yang begitu istimewa dan mempunyai niai serta sikap yang sukar dikupas oleh mana-mana pengarang terutama dalam aspek bahasa dan psikologi manusia,” ujarnya.

Beliau turut menggesa pihak bertanggungjawab untuk melakukan satu terjemahan buat karya tersebut dalam bentuk bahasa Inggeris mahupun bahasa Melayu dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) agar masyarakat dapat mesej yang disampaikan dari karya Hadji Murat tersebut.

Karya yang mengupas tema jihad dan perjuangan kebangsaan itu adalah berdasarkan kisah benar yang berlaku pada tahun 1851, melibatkan seorang pejuang Chechnya bernama Hadji Murat telah membentuk satu pakatan bersama Rusia, yang pernah ditentangnya, demi membalas dendam terhadap musuhnya.

Novel tersebut mengisahkan penaklukan empayar Rusia terhadap penduduk Islam di Dagestan, Caucasus Utara, sering menjadi bahan rujukan buat Anwar ketika mengajar di Amerika Syarikat, meskipun ketika itu Islamofobia dan keganasan pasca 11 September hangat diperbincangkan.

Teater Hadji Murat arahan A Wahab Hamzah dan kelolaan Badan Budaya DBP dipentaskan mulai 26 sehingga 29 Jun yang melibatkan kru produksi seramai kira-kira 100 pelakon termasuk personaliti teater terkenal seperti Che Kem, Dr Rusdeen Suboh, dan Ard Umar.

Related Articles

Back to top button