Negeri

Kerajaan Sabah jamin hak komuniti Pala’u selari piagam PBB

Kerajaan Negeri Sabah memberi jaminan penjagaan akan diberikan kepada bangsa Bajau Laut atau Pala’u seperti digariskan dalam undang-undang antarabangsa.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, semua pihak harus memahami bahawa golongan itu mempunyai perbezaan dengan golongan pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Kita mesti tahu Pala’u adalah (bangsa) yang tidak mempunyai negara. Dalam undang-undang antarabangsa (piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu), di mana saja Pala’u ini datang, maka negara itu mesti menjaga mereka.

“Kita tidak boleh samakan Pala’u yang tidak mempunyai kewarganegaraan ini dengan PATI sebab PATI boleh dihantar pulang ke negara asal, tetapi Pala’u tiada negara.

“Jadi jika mereka ada di negara kita atau di Sabah, kita mesti jaga kepentingannya. Kalau mereka pergi ke perairan antarabangsa, seperti ke Indonesia atau Filipina, maka Kerajaan Indonesia atau Filipina akan menjaga mereka. Jadi kita jangan keliru mengenai perkara ini,” katanya.

Pala’u merupakan komuniti laut nomad di perairan Asia Tenggara, termasuk Laut Sulu dan Celebes.

Mereka secara tradisi tinggal di rumah bot, serta bergantung pada perikanan dan sumber laut untuk mata pencarian mereka.

Sekitar 27,000 orang Pala’u direkodkan berada di Sabah.

BACA LAGI: Kerajaan disaran tubuh jawatankuasa khas selesai isu kewarganegaraan Bajau Laut

Media baru-baru ini melaporkan terdapat beberapa pautan video pengusiran dan rumah komuniti Pala’u yang dibakar di kawasan Taman Marin Tun Sakaran (TMTS) Semporna

Kerajaan negeri kemudian tampi menafikan dakwaan membakar rumah komuniti Pala’u dan menegaskan operasi pengusiran dilaksana kerana komuniti itu tinggal secara haram di kawasan terbabit itu selain faktor keselamatan susulan kegiatan jenayah rentas negara di lokasi penempatan tanpa izin.

Related Articles

Back to top button