Politik

BN-PH terus perkukuh kerjasama termasuk di peringkat akar umbi

Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan terus memperkukuhkan kerjasama termasuk di peringkat akar umbi demi kestabilan dan kemakmuran politik negara.

Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, meskipun menyedari perkara itu akan mengambil masa, namun ia tidak mustahil untuk dicapai.

“Dalam konteks Kerajaan Perpaduan ni pun sama juga…untuk parti-parti yang dulunya berseteru, tetapi apabila ditakdirkan bersama, ia akan ambil masa.

“Ini merupakan proses biasa sebab kita di peringkat pimpinan pun kita tidak ada pendekatan untuk memaksa dan lebih penting ia (kerjasama) berlaku secara semula jadi,” katanya yang juga Setiausaha Agung Umno.

Terdahulu, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa isu kerjasama antara BN dan PH ditamatkan tidak berbangkit sama sekali.

Ahmad Zahid membuat penegasan sedemikian susulan kenyataan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan mengenai keputusan kerjasama itu pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan dibuat mesyuarat jawatankuasa tertinggi BN.

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno berkata, kerjasama dimaksudkan ialah daripada segi perancangan bagi memastikan tidak timbul permasalahan saat akhir, terutama berhubung pembahagian kerusi Kerajaan Perpaduan.

Pada 11 Julai lalu, Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menegaskan Kerajaan Perpaduan perlu memberi tumpuan kepada meningkatkan kerjasama di peringkat akar umbi membabitkan ahli PH dan BN.

Related Articles

Back to top button