Semasa

PDRM beri perhatian serius isu buli siber, bakal buru pelaku

Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi perhatian serius terhadap isu buli siber terutama membabitkan komen -komen melampau yang mengancam keselamatan individu lain.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, apa-apa hantaran dan spekulasi berkaitan sesuatu isu yang disebarkansehingga berlakunya fitnah, ugutan atau buli siber merupakan satu kesalahan jenayah.

Justeru, individu terbabit boleh diambil tindakan berlunaskan undang-undang yang dikuatkuasakan antaranya di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) kerana ugutan, Seksyen 500 KK dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia (AKMM).

“PDRM dan Kementerian Komunikasi sudah membentuk satu jawatankuasa yang diberi tanggungjawab meneliti aspek perundangan yang bakal dicadangkan pada masa akan datang.

“Kita tidak mahu berlakunya kejadian buli siber sehingga menyebabkan kematian sepertimana yang menimpa pada pempengaruh Tiktok, Esha.

“PDRM menerusi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) sentiasa bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Multimedia Malaysia (SKMM) serta Kementerian Komunikasi dalam meneliti dan mengkaji langkah-langkah dan tindakan yang lebih tegas dalam memerangi unsur buli siber ini, ” tegasnya.

Esha ditemui maut di kediamannya di Setapak, Kuala Lumpur pada 5 Julai, selepas sehari membuat laporan ugutan jenayah dan fitnah terhadap dirinya di media sosial.

BACA LAGI: Jawatankuasa khas tangani buli siber bakal ditubuhkan – Menteri Komunikasi

Sementara itu Razarudin menggesa masyarakat tidak mengeluarkan kenyataan atau spekulasi melampau di media sosial.

Mengambil contoh kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah beliau berkata, banyak spekulasi yang timbul di media sosial dengan menghina, mengutuk mencaci mangsa mahupun suspek secara tidak langsung boleh menganggu emosi dan memberi tekanan kepada waris keluarga.

“Inilah buli siber. Isu ini adalah serius,” katanya.

Related Articles

Back to top button