Kewujudan Koridor Ekonomi Anjung Selatan untungkan rakyat 3 negeri – MB Negeri Sembilan
Koridor Ekonomi Anjung Selatan membabitkan Negeri Sembilan, Melaka dan Johor diyakini bakal memberi impak positif kepada rakyat di ketiga-tiga negeri berkenaan.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata. pemimpin ketiga-tiga negeri bakal bertemu dalam masa terdekat bagi membuat perbincangan lanjut mengenai rancangan itu.
“Kita telah bincang perkara itu tetapi tidak secara terperinci dan kita (pemimpin) akan adakan satu pertemuan secara baik dan muhibbah untuk bentangkan perancangannya.
“Insya-Allah pertemuan akan diadakan tidak kira di mana dalam masa terdekat antara Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.
“Ini suatu perkara (cadangan) yang penting kerana kita antara negeri yang tidak mempunyai koridor berbanding dengan negeri lain yang mempunyai koridornya,” katanya.
Aminuddin berkata begitu kepada pemberita selepas hadir Merasmikan Negeri Sembilan (NS) Fest 2024, di Dataran Nilai pada Ahad.
Koridor Ekonomi Anjung Selatan mampu memberi pulangan ekonomi terutama dalam sektor ekopelancongan dan perindustrian.
BACA LAGI: Kewujudan zon ekonomi, zon kewangan bakal lonjak Johor sebagai negeri termaju
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh baru-baru ini dilaporkan berkata, satu jawatankuasa induk akan dibentuk bagi memulakan rundingan, gerak kerja dan kajian kerjasama.
Sementara itu menurut Aminuddin, dengan kewujudan koridor itu, tumpuan akan diberikan terutama dalam bidang pelaburan dan perindustrian.
“Ini bidang yang akan kita berikan tumpuan dan apa yang penting kerjasama ini dapat memberikan pulangan kepada rakyat,” tambah Aminuddin.