Semasa

Belanjawan 2025: KDN akan usul lebih banyak Baitul Mahabbah

Lebih banyak penempatan khas sementara untuk kanak-kanak warga asing, dikenali Baitul Mahabbah, akan dibuka bagi memastikan mereka tinggal dalam keadaan lebih kondusif.

Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismil berkata, bagi tujuan itu satu usul akan dikemukakan kementeriannya menjelang Belanjawan 2025 yang dijadual dibentangkan pada Oktober depan.

“KDN akan mengusulkan lagi pembukaan Baitul Mahabbah untuk mengeluarkan 1,300 kanak-kanak dari depoh tahanan Imigresen,” katanya pada sidang media sempena sambutan Hari Antipemerdagangan Orang Sedunia dan Majlis Apresiasi Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (MAPO) di Putrajaya pada Selasa.

Baitul Mahabbah merupakan penempatan khas sementara kanak-kanak warga asing seliaan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen).

Setakat ini Baitul Mahabbah beroperasi di Nilai, Negeri Sembilan; Papar, Sabah dan Bekenu; Sarawak dan tiga lagi kemudahan itu dalam perancangan untuk dibuka tahun ini di Kedah, Kelantan dan Johor yang membabitkan peruntukkan RM10 juta.

BACA LAGI: Pembentangan Belanjawan MADANI 2025 pada 18 Oktober depan

Setiap Baitul Mahabbah boleh dihuni 300 kanak-kanak warga asing terdiri daripada mereka yang lahir di depoh tahanan imigresen atau ditinggalkan ibu bapa masing-masing ketika operasi imigresen.

Ketika ditempatkan di kemudahan itu, mereka akan berpeluang mendapat pendidikan tidak formal selain diberi penjagaan kesihatan diri.

“Mereka boleh beraktiviti dan bermain dengan jauh lebih baik berbanding ditempatkan terus tahanan dewasa yang lain,” tambah Saifuddin.

Related Articles

Back to top button