Semasa

Jawatankuasa khas ditubuhkan bantu pesawah terjejas kemarau – LPP

Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bakal menubuhkan sebuah jawatankuasa khas menangani masalah lebih 10,000 pesawah terjejas akibat cuaca panas

Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, jawatankuasa yang ditubuhkan itu membabitkan Jabatan Pertanian negeri, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian serta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) akan mencari penyelesaian kepada masalah dihadapi pesawah di empat negeri membabitkan Perak, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

“Segala laporan melalui jawatankuasa itu boleh diserahkan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk tindakan lanjut bagi membantu pesawah yang terjejas.

“Sebagai contoh di Parlimen Bagan Serai saja, terdapat 2,162 pesawah terjejas membabitkan kira-kira RM7.5 juta kerugian akibat kemarau sejak hujung Jun lalu,” katanya kepada pemberita pada sesi lawatan di Parit Haji Ali, Alor Pongsu, di Bagan Serai pada Rabu.

Cuaca panas serta kering dijangka melanda negara hingga September depan akan memberi kesan terhadap kawasan pertanian di Perak.

BACA LAGI: Kerajaan MADANI usaha bantu pesawah terjejas kemarau di negeri pembangkang

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pada Selasa memaklumkan, kawasan jelapang padi di daerah Kerian, Perak Tengah dan Hilir Perak seluas 29,241 hektar ialah antara yang dikenal pasti terkesan akibat keadaan cuaca berkenaan.

Sementara itu Mahfuz memaklumkan, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan KPKM bagi memastikan pesawah terjejas diberi bantuan melalui Tabung Bantuan Bencana Tanaman Padi dalam masa terdekat.

Related Articles

Back to top button