MPGN akan bentang laporan cadangan gaji minimun ke kabinet
Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) sedang menyediakan laporan kepada Kabinet mengenai cadangan perubahan gaji minimum.
Perkembangan itu dinyatakan Menteri Sumber Manusia (KESUMA) Steven Sim Chee Keong pada ucapan di Persidangan Sumber Manusia Wilayah Utara 2024 di Pusat Konvensyen Setia SPICE di George Town pada Khamis.
Beliau berkata, majlis yang terdiri daripada wakil majikan, pekerja dan kerajaan itu telah mengadakan perbincangan mengenai perkara itu pada akhir Jun lepas.
“Gaji minimum sangat penting, saya telah melihat data, statistik dan penyelidikan. Kita bercakap tentang pekerja yang berada dalam 10 peringkat paling bawah (yang menerima gaji rendah) sekurang-kurangnya telah mengalami pertumbuhan gaji yang positif hingga 60 peratus dalam 10 tahun lepas kerana dasar gaji minimum,” katanya.
Persidangan Sumber Manusia Wilayah Utara 2024 menghimpunkan profesional dan pakar industri bertujuan berkongsi pengetahuan dan strategi praktikal bagi meningkatkan amalan sumber manusia dalam organisasi dengan tumpuan kepada membina tenaga kerja berdaya tahan serta mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing.
Steven Sim sementara itu berkata, pihaknya percaya kenaikan gaji tidak seharusnya melalui peruntukan undang-undang semata-mata meskipun mekanisme gaji minimum telah menunjukkan kesan positif.
Justeru, kerajaan jelasnya telah merintis Dasar Gaji Progresif bermula Jun lepas dengan kerajaan memberikan insentif kepada majikan untuk membayar gaji pekerja mereka lebih tinggi.
“Pekerja yang mengambil bahagian dalam program ini pula perlu menjalani latihan kemahiran selama 21 jam kerana kami mahu memastikan gaji yang lebih tinggi sepadan dengan kemahiran terkini untuk meningkatkan produktiviti,” tambah Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu.
BACA LAGI: Kesuma sepadankan kelayakan graduan dengan pekerjaan
Pada tahun lalu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mencadangkan dasar gaji progresif bertujuan untuk melengkapkan gaji minimum bertujuan menaikkan gaji dan mencapai agihan pendapatan lebih seimbang untuk mereformasi pasaran buruh dan meningkatkan pendapatan pekerja sejajar dengan peningkatan produktiviti.
Menjelang pelaksanaan penuh dasar itu, kerajaan melaksana projek rintis dengan setakat ini 430 syarikat telah mendaftar dan memanfaatkan 1,200 pekerja.