Meta jelik, hina perjuangan rakyat Palestin – PMO
Tindakan Meta menurunkan beberapa hantaran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menzahirkan ucapan takziah dan penghormatan di atas pemergian tokoh perjuangan Palestin Hamas Ismail Haniyeh dan menghalang siaran langsung Himpunan Pembebasan Palestin adalah jelik dan bersifat diskriminasi.
Pendirian itu dinyatakan Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam pertemuan bersama wakil Meta di Putrajaya Semalam yang turut dihadiri Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
“Meta bersikap tidak adil, dan menyekat kebebasan berpandangan, selain menghina perjuangan sah rakyat Palestin menuntut keadilan dan hak asasi manusia.
“Tindakan menurunkan hantaran ini telah memberi kesan mendalam kepada rakyat Malaysia dan masyarakat dunia yang memahami penderitaan rakyat Palestin dan menentang kezaliman rejim Zionis Israel seperti terpahat dalam lipatan sejarah.
“Keputusan unilateral untuk menapis kandungan tanpa pertimbangan terhadap konteks hantaran, jelas menimbulkan persoalan tentang ketelusan dalam dasar penapisan kandungan Meta,” kata Bahagian Media dan Komunikasi Strategik, PMO melalui satu kenyataan.
Sebelum ini, dua hantaran Anwar masing-masing pertemuan dengan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh di Qatar pada Mei lalu dan ucapan takziah serta penghormatan terhadap bekas Perdana Menteri Palestin itu, yang dibunuh minggu lalu diturunkan Meta.
BACA LAGI: Fahmi sifatkan ada pihak hipokrit, sengaja main isu Blackrock
Terbaharu, Berita RTM turut disekat untuk menyiarkan secara langsung Himpunan Pembebasan Palestin menerusi Facebook pada Ahad lepas.
Sehubungan itu, Pejabat Perdana Menteri menuntut beberapa perkara, termasuk penjelasan terperinci berhubung tindakan yang diambil oleh pihak Meta serta permohonan maaf secara terbuka.