Media Antarabangsa beri liputan meluas permohonan maaf Meta kepada PM Anwar
Permohonan maaf oleh penyedia platform media sosial Meta Platforms kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat liputan meluas media terutama di negara Arab.
Platform masrawy.com dan aawsat.com yang berpangkalan di Mesir, alroya.com (Oman), sarayanews.com (Jordan), alalam.ir (Iran), alquds.co.uk dan alghad.ty (UK), aljazeera.net, alaraby.com (Qatar) dan alwatannews.com (Bahrain) telah melaporkan permohonan maaf Meta susulan tindakan mereka menurunkan hantaran daripada akaun Facebook dan Instagram Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan pembunuhan pemimpin Hamas Ismail Haniyeh.
Semakan turut mendapati permohonan maaf itu turut dilapor platform media lain antaranya Bloomberg yang berpangkalan di New York, The Independent (Britain), ChinaDaily (China), majalah perniagaan Fortune, Barrons (Amerika) malah turut dilaporkan media Israel (times of israel).
“Kami memohon maaf atas kesalahan operasi yang mana kandungan dari halaman Facebook dan Instagram Perdana Menteri telah dipadamkan.
“Kandungan tersebut dipulihkan dengan label berita yang betul,” kata jurucakap Meta kepada Reuters sebagai maklum balas kepada soalan menerusi e-mel.
pada Selasa.
Terdahulu Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Isnin telah memanggil Meta bagi memberikan penjelasan berhubung tindakan mereka.
Turut hadir dalam perjumpaan dengan Meta itu ialah Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
Susulan pertemuan itu PMO mengeluarkan kenyataan mengecam Meta dengan menyifatkan penyedia platform media sosial itu melakukan tindakan diskriminasi, sikap tidak adil dan menyekat kebebasan berpandangan.
PMO turut menyifatkan tindak tanduk Meta itu sebagai penghinaan terhadap perjuangan sah rakyat Palestin menuntut keadilan dan hak asasi manusia.
BACA LAGI: Dr Maza puji keberanian kerajaan, gesa rakyat bersama PM Anwar pertahan Palestin
Sementara itu Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan perdana menteri telah menerima permohonan maaf tersebut.Justeru kerajaan berharap kejadian itu tidak berulang pada masa akan datang.
“Perdana Menteri memaklumkan bahawa sahabat-sahabat beliau termasuk yang berada di Timur Tengah telah membaca berita tersebut, bermaksud ia telah sampai seantero dunia, jadi PM menerima permohonan maaf itu dan pada masa sama, kita berharap kejadian seperti ini tidak berulang,” katanya.