Kedutaan Palestin puji ucapan Steven Sim di Himpunan Pembebasan Palestin
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, menerima surat penghargaan daripada Kedutaan Palestin di Malaysia susulan ucapanya pada Himpunan Pembebasan Palestin di Bukit Jalil, 4 Ogos lalu.
Pengerusi Pertubuhan Solidaritas, Muhammad Najib yang berkongsikan perkara itu melalui satu hantaran di laman media sosialnya berkata, Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali menyifatkan ucapan Ahli Parlimen Bukit Mertajam di himpunan itu sebagai ucapan solidariti yang amat berkuasa dan berkesan.
“Steven Sim dalam ucapannya ketika Himpunan Pembebasan Palestin di Bukit Jalil menegaskan isu Palestin bukan semata-mata isu agama tapi ia adalah isu kemanusiaan sejagat.
“Kefahaman dan dekatnya Steven Sim dengan Palestin ini boleh kita simpulkan melalui satu ayat dalam ucapan beliau yang menyebut kemerdekaan kita tidak lengkap selagi Palestin tidak bebas dan merdeka.
“Ungkapan ini sebenarnya kilasan kepada ungkapan yang sama pernah diucap oleh Nelson Mandela pada 1997 dahulu. Ia membawa maksud kemerdekaan kita tidak bermakna jika masih ada saudara kita yang ditindas serta belum bebas dan merdeka,” katanya.
BACA LAGI: Dr Maza puji keberanian kerajaan, gesa rakyat bersama PM Anwar pertahan Palestin
Walid melalui suratnya kepada Steven Sim bertarikh 8 Ogos lalu menzahirkan penghargaan kepemimpinan, kerajaan dan rakyat Palestin, terhadap pendirian tegas Menteri Sumber Manusia itu terhadap perjuangan Palestin dan rakyatnya.
Walid turut mengirimkan surat kedua bagi memohon kunjungan hormat Kedutaan Palestin terhadap Steven Sim bagi menyampaikan penghargaan secara peribadi terhadap pendirian tegas pemimpin berkenaan.