Hari pengundian PRK DUN Mahkota ditetapkan 28 September depan – SPR
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September ini.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September ini.
“Sehubungan itu, urusan permohonan bagi semua kategori undi pos luar dan dalam negara akan dibuka mulai hari ini,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Ramlan berkata, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula dari tarikh pengisytiharan calon yang bertanding hingga jam 11.59 malam 27 September.
Beliau berkata, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRK itu membabitkan daftar pemilih tambahan Jun 2024 yang dikemas kini hingga 2 Ogos lalu.
Mengikut DPPR berkenaan, seramai 66,318 pemilih terdiri daripada 61,397 pengundi biasa; 4,410 anggota tentera dan pasangan, 401 anggota polis serta 10 orang pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.
“Pelaksanaan PRK DUN N29 Mahkota memerlukan peruntukan sebanyak RM2.4 juta.
“Seramai 1,126 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK ini, manakala 20 pusat mengundi biasa mengandungi 109 saluran dan tiga pusat mengundi awal bakal digunakan,” katanya.
PRK Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, meninggal dunia pada 2 Ogos lalu.
Sharifah Azizah sebelum itu dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang selepas mengalami pendarahan dalaman.