Parlimen

Johari bentang hasil lawatan kerja ke Persidangan Speaker-Speaker bulan depan

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul akan membawakan hasil dapatan dari lawatan kerja ke setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk dibincangkan pada Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Se-Malaysia 2024.

Menurutnya, ia bagi menyediakan satu panduan bagi memartabat dan memperkasakan institusi berkenaan.

“Setiap perjalanan sidang DUN (di setiap negeri) mesti ada perbezaan dan kelebihan.

“Jadi, pada persidangan itu, kita harap ada benda (perkara) baharu yang kita tidak fikirkan, tapi dibentang atau dicadangkan.

“Hasil persidangan itu, kita akan cadangkan dan harap kerajaan pertimbangkan permohonan, serta dapat seragamkan di Parlimen dan DUN untuk manfaat terbaik,” katanya ketika sidang akhbar di Wisma Sri Pahang, di Kuantan pada Selasa.

Johari mengakhir lawatan kerjanya DUN negeri di Pantai Timur bersempena Persidangan Speaker-speaker Parlimen dan Dewan Undangan Se-Malaysia Tahun 2024 yang akan diadakan di Kuching, Sarawak pada 11 hingga 14 September ini.

BACA LAGI: Jangan ‘tunggang’ Parlimen untuk promosi diri sendiri – Speaker Dewan Rakyat

Pada Ahad Johari mengadakan lawatan ke DUN Kelantan, sebelum melakukan lawatan sama ke DUN Terengganu di Kuala Terengganu pada Isnin.

Lawatan diadakan bagi berkongsi pengalaman dan idea secara bersama sekali gus membentuk keseragaman serta penambahbaikan dalam sidang Parlimen dan negeri.

Related Articles

Back to top button