Pilihanraya

PKR Nenggiri: Abaikan fatwa politik parti Pas yang sering berubah-ubah, tegas Mohamad Sabu

Pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan fatwa politik dikeluarkan parti Pas.

Presiden parti Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu pada ucapannya dalam majlis ceramah di Gua Musang berkata begitu sebagai merujuk kenyataan yang menggelar parti DAP sebagai kafir harbi

Tambah Mohamad Sabu, fatwa parti Pas sering berubah-ubah demi kepentingan politik seperti yang berlaku sebelum ini.

“Dua kali pilihan raya kita bersama Pas, bersama DAP pada PRU 2008 dengan 2013, Lim Guan Eng juga pernah dipuji seakan Umar Abdul Aziz.

“Pada 2008 juga berapa ramai wanita DAP pakai baju Nik Aziz (bekas Mursyidul Am Pas) dan ramai juga pemimpin Pas pakai baju dan topi roket, ketika itu tiada masalah.

“Kemudian 2015 bercerai dengan DAP dan KEADILAN…Mungkin tahun depan (mereka akan kata) kita berkawan dengan DAP satu rahmat kepada Allah,” katanya berseloroh.

Baru-baru ini, tular satu rakaman video memaparkan pengerusi majlis ceramah Pas dan Perikatan Nasional (PN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri mengeluarkan kenyataan DAP adalah ‘kafir harbi di Malaysia’.

Susulan tuduhan melampau itu Mufti Pahang menegaskan, mana-mana pihak tidak boleh menggunakan istilah kafir harbi untuk menyelar pihak lain.

Datuk Profesor Dr. Asmadi Mohamed Naim berkata, sebagai umat Islam dan rakyat Malaysia perlu menitikberatkan perpaduan selain menjaga sensitiviti semua pihak.

BACA LAGI: Tolak pemikiran ‘ghuluw’, lempar tuduhan’kafir harbi’ sewenangnya

Mengulas lanjut, Mohamad Sabu mengingatkan kepada pengundi yang beragama Islam agar tidak terpedaya dengan retorik politik Pas, sebaliknya terus berpegang kepada prinsip-prinsip agama yang tetap.

“Anggaplah ‘dengar telinga kanan, keluar telinga kiri’, fatwa-fatwa ini jangan ambil berat. Fatwa ini akan berubah setiap kali pilihan raya, janganlah pegang fatwa ini kerana ia hanya angin lalu mengikut musim dan keadaan,” katanya.

Related Articles

Back to top button