Semasa

Dr Maimunah Datuk Bandar Kuala Lumpur baharu kuatkuasa hari ini

Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif dilantik sebagai sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu berkuat hari ini bagi menggantikan Datuk Kamarulzaman Mat Salleh yang bersara wajib.

Pelantikan bekas Presiden Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA) itu mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan selaras dengan Subseksyen 4 (2) Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

Mempunyai pengalaman luas, Maimunah, 63, merupakan individu bertanggungjawab mengembalikan kedudukan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) sebagai peneraju pemikiran dalam perbandaran mampan dengan pengalaman 39 tahun dalam perancangan bandar, penjanaan semula bandar dan pembangunan yang diterajui komuniti.

Beliau pernah diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Setiausaha Agung mengenai Bandar Masa Depan dan Pengerusi Bersama Gabungan 2030 Kerajaan tempatan.

Bekas Pengarah Eksekutif UN-Habitat yang berpusat di Nairobi, Kenya selama enam tahun itu kini dilantik sebagai penasihat kepada Majlis Antarabangsa Inisiatif Alam Sekitar Tempatan (ICLEI).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis penyerahan surat pelantikan kepada Maimunah di Pejabatnya di Putrajaya pada Rabu menyatakan harapan agar pengalaman hampir empat dekad Dr Maimunah dalam perancangan bandar dan pembangunan komuniti dapat memperbaiki kehidupan warga Kuala Lumpur.

BACA LAGI: 1,400 hektar kawasan lapang di Kuala Lumpur dalam proses pewartaan kawasan hijau

Beliau yang menjadi wanita pertama menjawat jawatan tersebut juga diharap mengangkat imej dan martabat Kuala Lumpur ke peringkat lebih tinggi

“Moga pengalaman hebat yang dimiliki ini akan digunakan untuk memperbaiki taraf kehidupan warga Kuala Lumpur serta mengangkat imej, reputasi dan martabat bandaraya ini ke peringkat lebih tinggi, Insya-Allah,” kata Perdana Menteri

Related Articles

Back to top button