ekonomi

PM Anwar arah percepat kelulusan permohonan perniagaan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua pihak mempercepat kelulusan permohonan perniagaan bagi meletakkan Malaysia sebagai destinasi tumpuan pelabur di rantau ini.

Menerusi hantaran di laman sosialnya, perdana menteri berkata perkara itu telah ditegaskannya pada Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-45 yang dipengerusikannya pada Khamis.

Bagaimanapun tambahnya, kelulusan itu perlu dilakukan tanpa berkompromi dengan undang-undang negara.

“Dari segi kecepatan kelulusan pembangunan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) harus mempertimbangkan kecekapan,” katanya.

MPFN menjadi platform perbincangan penting antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam meneliti perkara terkait perancangan pembangunan bandar, desa dan guna tanah negara.

BACA LAGI: Pengurusan rantaian bekalan akan diperkukuh agar berdaya tahan

Mesyuarat yang diadakan itu juga telah membincangkan mekanisme kawalan dan pengurusan bagi aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE).

“Ia penting bagi mengimbangi pulangan ekonomi serta mengambil kira aspek kemampanan alam sekitar selain tidak mengganggu kawasan hutan simpan.

“Insya-ALLAH, sinergi antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan terus dimantapkan bagi mewujudkan landskap perancangan pembangunan yang lebih holistik,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button