Pilihanraya

PN kalah teruk di Nenggiri, bukti rakyat tolak politik fitnah

Calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang mewakili Kerajaan Perpaduan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri berjaya menambah satu lagi kerusi dalam Dewan Negeri apabila merampas kerusi tersebut dengan kemenangan bergaya.

Mohd Azmawi atau lebih dikenali sebagai Awei berjaya meraih sebanyak 9,113 undi mengalahkan calon Perikatan Nasional (PN) Mohd Rizwadi Ismail dengan majoriti sebanyak 3,372 undi.

Daripada 20 pusat daerah mengundi (PDM) calon Kerajaan Perpaduan tampil menguasai 17 daripadanya, sekaligus meletakkan PN dalam prestasi terburuk dalam pilihan raya kecil (PRK) diadakan sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Berdasarkan keputusan rasmi, peratusan undi PN merosot daripada 53.3 peratus tahun lalu kepada 38.7 peratus, manakala peratusan undi BN meningkat kepada 61.3 peratus berbanding 46.7 peratus bagi tempoh sama.

PN juga kalah di semua PDM majoriti Orang Asli, manakala tiga PDM dikuasai mereka iaitu di Ladang SEDC, Kesedar Limau Kasturi dan Pasir Tumboh menyaksikan majoriti berkurangan dari tiga angka di setiap PDM sebelum ini kepada dua angka.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub dalam kenyataan awal susulan kemenangan itu berkata, kemenangan besar di Nenggiri juga telah membuktikan setiap fitnah tidak berasas yang telah dilontarkan oleh pihak lawan terutamanya tentang UMNO dan Kerajaan Perpaduan di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Kononnya Islam terancam bawah kerajaan Perpaduan itu tidak mendapat reaksi rakyat. Kemenangan kita di Neggiri telah memberikan signal bahawa rakyat menolak fitnah seperti ini,” jelasnya.

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu sebagai mengulas keputusan PRK Nenggiri menyifatkan kemenangan itu hasil sumbangan oleh kerja keras jentera gabungan Kerajaan Perpaduan.

Malah, kemenangan ini juga jelasnya adalah isyarat jelas bahawa rakyat Kelantan telah bersedia untuk membuat perubahan bagi mengangkat gabungan Perpaduan mentadbir Kelantan dalam pilihan raya akan datang.

Sementara itu, beberapa pemimpin KEADILAN merakamkan ucapan tahniah kepada Mohd Asmawi dan merakamkan penghargaan kepada pengundi yang memenangkan calon mewakili kerajaan.

Ketua Wanita KEADILAN, Fadhlina Sidek melalui hantaran di laman Facebooknya malam tadi turut mendoakan yang terbaik kepada Azmawi.

“Selamat berkhidmat Azmawi Fikri. Selamat menjalankan amanah!,” kata Menteri Pendidikan itu.

“Pengundi Nenggiri telah memilih. Tahniah BN!,” kata Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil pula melalui hantaran ringkas di laman Facebooknya.

Related Articles

Back to top button