Global

Jadual padat iringi lawatan rasmi PM Anwar ke India

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan lawatan rasmi ke India hari ini dengan diiringi jadual padat.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India, Datuk Muzaffar Shah Mustafa berkata, sejurus tiba, Perdana Menteri dijadual mengadakan perjumpaan dengan tiga syarikat tempatan, iaitu Tata Consultancy Services, Emami Agrotech Ltd dan HCLTech.

Acara sambutan rasmi Anwar akan diadakan di perkarangan kediaman rasmi Presiden India, Rashtrapati Bhavan di New Delhi, disusuli upacara penghormatan di Tugu Peringatan Ghandi di Kompleks Memorial Raj Ghat.

Kemudian beliau dijadual menerima kujungan hormat Menteri Hal Ehwal Luar India, S Jaisankar Prasad, disusuli perjumpaan dua hala tertutup dengan rakan sejawat, Narendra Modi.

Pertemuan Anwar dan Modi juga dijangka membincangkan visi mereka untuk rantau Indo-Pasifik, terutama ketika Malaysia bersiap sedia untuk mengambil alih pengerusi ASEAN pada 2025.

Turut bersama lawatan rasmi itu ialah Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Steven Sim; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian, Datuk Seri Tiong King Sing serta Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Turut serta, Menteri Digital, Gobind Singh serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

BACA LAGI: PM Anwar akan adakan lawatan kerja ke Rusia, penuhi undangan Presiden Putin

Pada lawatan kali ini, Anwar juga dijangka menyaksikan beberapa majlis menandatangani memorandum persefaham (MoU) membabitkan kedua-dua negara.

Beliau turut dijadual menyampaikan syarahan bertajuk ‘Ke arah Pembangunan Global Selatan, Memanfaatkan Hubungan Malaysia-India’ pada program Majlis Hal Ehwal Dunia India (ICWA).

Related Articles

Back to top button