Nasional

Tengku Mahkota Pahang murka, gesa polis siasat Muhyiddin

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan terkilan atas tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang secara sengaja dan sinis telah memperlekeh dan mempertikaikan tugas dan peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sewaktu Baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16.

Tengku Hassanal bertitah bahawa sebagai bekas Perdana Menteri dan ahli politik veteran, kenyataan Muhyiddin yang memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa YDPA seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri ke-10.

“Kenyataan beliau ini juga kelihatan tidak matang, menampakkan seolah-olah beliau masih tidak boleh menerima kenyataan yang beliau tidak dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Kenyataan yang dikeluarkan ini juga adalah sangat bahaya kerana secara terang-terangan menghasut rakyat agar hilang kepercayaan terhadap Institusi Raja-raja Melayu serta memecahbelahkan rakyat,” titah Tengku dalam kenyataan rasmi pada Isnin.

Dalam kenyataan sama, Tengku Hassanal turut bertitah bahawa YDPA tidak sewenang-wenangnya membuat keputusan untuk melantik Perdana Menteri walaupun perlembagaan memberikan kuasa mutlak kepada Baginda.

“Baginda semasa itu telah memanggil pakar-pakar perlembagaan, penjawat awam utama negara dan yang terakhirturut secara musyawarah mendapatkan pandangan daripada Majlis Raja-Raja dan akhirnya barulah pelantikan YAB Perdana Menteri semasa itu dibuat.

“Parlimen juga telah meluluskan usul undi percaya kepada YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 19 Disember 2022. Sehubungan itu, keputusan undi percaya tersebut adalah jelas dan selari dengan pertimbangan KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah semasa Baginda memilih YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

“Justeru, saya mahu pihak PDRM mengambil tindakan yang tegas tanpa kompromi kepada YB Tan Sri Muhyiddin Yassin yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R,” titah Tengku lagi.

Tengku Hassanal turut menasihatkan kepada semua ahli politik, selaku pemimpin rakyat berpegang teguh pada Prinsip Rukun Negara dan terus-menerus untuk sentiasa menyatupadukan rakyat agar Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang bangsa dapat menjadi sebuah negara maju, cemerlang ekonomi, alam sekitarnya lestari dan rakyatnya bahagia.

Terdahulu, Muhyiddin didakwa menghina Sultan Pahang dalam ucapannya ketika berkempen di pilihan raya kecil (PRK) Nenggiri mengheret institusi istana dalam kempen politiknya.

Related Articles

Back to top button