Politik

Mahyuddin tidak ‘up to date’, kemuka SD ‘lapuk’

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa cuba mengalihkan perhatian daripada kontroversi ucapannya yang menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja) dengan merujuk kepada Akuan Berkanun (SD) lama yang sudah tidak relevan.

Tindakan tersebut dilihat sebagai usaha untuk mengelakkan implikasi undang-undang, khususnya selepas Istana Pahang membuat laporan polis terhadap beliau.

Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar, menyatakan bahawa Akuan Berkanun yang dirujuk oleh Muhyiddin tidak lagi terpakai, kerana pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri telah disahkan melalui undi percaya di Parlimen.

“Muhyiddin menggunakan dokumen ini untuk mengalih perhatian daripada kenyataan kontroversinya yang mencetuskan kemarahan, termasuk daripada Tengku Mahkota Pahang.

“Muhyiddin seolah-olah ingin mempertikaikan keputusan Yang di-Pertuan Agong terdahulu, walaupun beliau menafikan niat untuk menghina institusi Diraja.

“Tindakan ini dianggap sebagai cubaan untuk memanipulasi isu sensitif demi keuntungan politik, sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang pemimpin negara,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Selain itu, Onn juga mengingatkan bahawa fokus utama kini bukanlah pada dokumen lama, tetapi pada kenyataan yang didakwa menyentuh isu 3R tersebut.

Kenyataan itu dilihat sebagai ancaman kepada keharmonian negara dan harus diambil serius oleh pihak berkuasa.

Onn menegaskan bahawa tindakan tegas perlu diambil untuk memastikan perkara ini tidak berulang dan untuk melindungi integriti institusi Diraja serta keamanan negara.

Semalam, Muhyiddin menyerahkan beberapa dokumen kepada polis sebagai keterangan bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya ketika berucap pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri.

Ia termasuk 114 Akuan Berkanun Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepadanya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang telah diserahkan kepada Istana Negara pada 21 November 2022.

Related Articles

Back to top button