Nasional

Pengangguran terus turun 4.1 peratus pada suku kedua 2024 – DOSM

Pengangguran terus menurun pada suku tahun kedua 2024, sejajar dengan peningkatan permintaan terhadap buruh dalam sektor ekonomi.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin memaklumkan, permintaan buruh di Malaysia terus berkembang pada suku tahun kedua 2024, seiring dengan pertumbuhan tahunan sebanyak 1.5 peratus kepada 8.96 juta jawatan dalam sektor swasta.

Menurut beliau, bilangan jawatan diisi merangkumi 97.9 peratus daripada jumlah jawatan meningkat 1.5 peratus kepada 8.76 juta.

“Peluang pekerjaan dalam ekonomi yang ditunjukkan oleh bilangan kekosongan merangkumi 2.1 peratus daripada jawatan, meningkat 0.8 peratus berbanding suku sama tahun sebelumnya kepada 191.4 ribu kekosongan dan sebahagian besarya dalam sektor pembuatan yang menyumbang 108.3 ribu kekosongan jawatan (56.6 peratus).

“Dalam suku tahun yang sama, permintaan buruh di Malaysia terus meningkat 0.5 peratus dalam bilangan pewujudan jawatan, merangkumi 31.9 ribu jawatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, kadar penyertaan tenaga buruh naik 0.5 mata peratus tahun ke tahun kepada 70.5 peratus.

“Bilangan tenaga buruh meningkat 2.5 peratus untuk merekodkan 17.15 juta orang, terutamanya disumbangkan oleh peningkatan 2.8 peratus penduduk bekerja, yang merangkumi 16.59 juta orang pada suku tahun kedua 2024.

“Bilangan penganggur terus berkurang 4.1 peratus kepada 557.8 ribu orang mencatatkan kadar pengangguran 3.3 peratus, kekal tidak berubah untuk tiga suku tahun berturut-turut,” katanya.

Beliau berkata, prospek ekonomi Malaysia dijangka mengekalkan momentum pertumbuhannya, disokong oleh permintaan domestik yang lebih kukuh dan esport yang terus berkembang.

“Pasaran buruh negara dijangka akan terus mengekalkan momentum pertumbuhan yang stabil pada suku yang akan datang,” ujarnya.

Related Articles

Back to top button