Politik

Saarani gesa UMNO terus jalin kerjasama dengan HARAPAN bagi hadapi PRU akan datang

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Saarani Mohamad mengesa parti itu mengambil kira pengajaran dan pengalaman pilihan raya lalu.

“Ada pengalaman yang kita perlu pelajari. Pada 2022, bila kita kata BN bergerak solo, masa itu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berlaku tiga penjuru… ia menyebabkan undi Melayu berpecah tiga.

“Sebahagian pergi kepada PH (Pakatan Harapan), sebahagian PN (Perikatan Nasional) dan sebahagian tinggal dengan UMNO hingga menyebabkan UMNO jatuh.

“Pengajaran yang boleh diambil ialah kita tak boleh membuat keputusan untuk pergi solo. Kena pergi secara persefahaman bersama, biar satu lawan satu antara parti dalam Kerajaan Perpaduan dengan PN,” katanya.

Saarani yang juga Menteri Besar Kedah berkata begitu ketika ditemui pemberita pada Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Kuala Lumpur.

Beliau sebelumnya diminta mengulas ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang antara lain membangkitkan persoalan mengenai langkah terbaik dalam politik semasa selepas BN pernah mengambil pendekatan ‘go solo’ pada Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini.

Ditanya mengenai kaedah pembahagian kerusi jika UMNO memilih untuk meneruskan kerjasama dengan PH pada PRU akan datang, Saarani berkata, parti yang lebih dominan di kerusi tertentu mungkin menjadi antara kriteria kelayakan untuk bertanding.

BACA LAGI: Kerajaan Perpaduan tidak pernah abai kedudukan Islam sebagai agama rasmi

Tegasnya, kriteria itu mesti ditentukan antaranya melalui jumlah undi diperoleh pada PRU15.

“Sekarang kita mengambil fahaman kerusi itu siapa asalnya. Kedua, nak direbut nanti adalah kerusi yang ada pada PN. Kerusi itu kena ada persefahaman bersama,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button