Global

Brazil undang PM Anwar hadiri Sidang Kemuncak G20

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diundang Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva untuk menghadiri Sidang Kemuncak G20 di Rio de Janeiro pada November ini.

Kementerian Luar (Wisma Putra) melalui satu kenyataan berkata, undangan itu disampaikan Menteri Luar Brazil Mauro Vieira ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri di Seri Perdana pada Ahad.

“Semasa kunjungan hormat itu, Anwar turut mengulangi hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS dan Vieira mengalu-alukan permohonan Malaysia serta memberi jaminan akan sokongan Perdana Menteri Brazil.

“Kedua-dua pihak turut menyentuh perkembangan semasa global termasuk situasi di Gaza, Myanmar dan konflik Rusia-Ukraine selain membincangkan hubungan dua hala yang lama terjalin antara Malaysia dan Brazil,” kata kenyataan itu.

Vieira mengakhiri lawatan rasminya dua hari ke Malaysia semalam, Ia merupakan lawatan pertamanya ke negara ini sebagai Menteri Luar sejak memegang jawatan pada 1 Jan 2023.

Selain Anwar, Vieira turut bertemu dan mengadakan perbincangan dengan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasa untuk mengkaji semula dan membincangkan kerjasama dua hala sedia ada antara kedua-dua negara.

BACA LAGI: Negara utama dalam BRICS sokong penyertaan Malaysia – PM Anwar

Sementara itu Wisma Putra menyifatkan lawatan ini telah memberi dorongan baharu kepada hubungan Malaysia-Brazil yang terjalin sejak 65 tahun lepas pada 1959, ketika kedua-dua negara berusaha untuk mengukuhkan kerjasama mereka.

Brazil terus menjadi rakan perdagangan kedua terbesar Malaysia di rantau Amerika Latin. Pada 2023, jumlah dagangan antara Malaysia dan Brazil bernilai RM17.46 bilion (US$4 bilion), meningkat empat peratus daripada RM16.86 bilion (US$3.85 bilion) yang direkodkan pada 2022.

Related Articles

Back to top button