Akta Iltizam Kecekapan Kerajaan bakal diperkenal, kurangkan kerenah birokrasi
Akta Iltizam Kecekapan Kerajaan bakal diperkenal bagi mengurangkan kerenah birokrasi serta prosedur tertentu dalam urusan perniagaan.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, ia susulan hasil mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bulan ini yang bersetuju supaya satu akta yang memberi garis panduan atau parameter kepada kerajaan untuk memudah cara karenah birokrasi diperkenal.
“Keputusan kerajaan (melalui MTEN) adalah komitmen untuk memudah cara perniagaan, kita akan mengambil langkah melalui satu akta.
“Akta ini akan memberi garis panduan ataupun parameter kepada kerajaan mengenai komitmen kita untuk memudah cara kerenah birokrasi,” katanya
Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Kajian Ekonomi Malaysia 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Selasa
Mengulas lanjut Rafizi berkata, antara faktor yang membawa kepada pengenalan akta itu adalah disebabkan peraturan melibatkan perniagaan di Malaysia biasanya rumit dan mengambil masa yang panjang.
“Contohnya tempoh masa yang diperlukan untuk menubuhkan sebuah syarikat di Malaysia (adalah lebih lama) berbanding dengan negara-negara jiran yang dilihat lebih tangkas.
BACA LAGI: Speaker panggil KSU, bincang penambahbaikan kepada akta ketinggalan zaman
“Begitu juga, jumlah prosedur yang perlu dipatuhi untuk mendaftarkan perniagaan pun banyak,” jelasnya sambil berkata, akta itu selari dengan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang diperkenalkan tahun lepas.
“Dari segi Akta Iltizam Kecekapan Kerajaan konsepnya sama iaitu meletakkan garis kecekapan yang perlu dipatuhi kerajaan dan perlu dibincangkan di Parlimen,” katanya dengan menjangkakan akta itu dibentangkan di Parlimen hujung tahun ini.