Sultan Selangor titah elak racuni fikiran dengan isu 3R
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyeru rakyat mengharmoni dan menyuburkan perpaduan tanpa meracuni fikiran dengan unsur negatif terutama berkait raja, agama dan kaum (3R).
Bertitah sempena sambutan Hari Kebangsaan 2024 pada Jumaat, Baginda menegaskan institusi Raja tidak sepatutnya diheret dengan tohmahan dan fitnah isu politik
.
“Institusi Raja adalah “atas politik” (above politics), oleh itu sebarang bentuk teguran dan kritikan terhadap pemeritah dan insitusi Raja seharusnya disuarakan melalui saluran yang betul dan dilaksanakan secara berhemah,” titah Baginda.
Baginda melalui titahnya juga turut menasihati pemimpin dan ahli politik negara ini untuk mengelak politik kebencian yang masih diamalkan pihak tertentu.
Manakala rakyat dititahkan agar bersatu hati menjadikan Malaysia berdaya saing, maju dan makmur serta menjauhi hasad dengki, fitnah dan adu domba yang boleh memecah belahkan perpaduan.
BACA LAGI: Jangan ‘tunggang’ Islam, halalkan cara demi kejar dunia – Sultan Nazrin bertitah
“Segala perbezaan antara kaum, agama dan fahaman politik janganlah dijadikan penghalang bagi rakyat Malaysia memberikan taat setia kepada negara.
“Sebaliknya, jadikanlah perbezaan tersebut sebagai satu resipi untuk mewujudkan masyarakat majmuk yang bersatu-padu dan hormat-menghormati antara satu sama lain,” titah Baginda.