Semasa

Baitul Mahabbah Tanah Merah dirasmikan, KDN sasar 2 lagi dalam masa terdekat

Dua pusat jagaan Baitul Mahabbah baharu akan dibuka dalam masa terdekat di Kedah dan Johor bagi penempatan sementara kanak-kanak warga asing berumur di bawah 10 tahun

Perkara itu dinyatakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selepas merasmikan Baitul Mahabbah Tanah Merah di Kelantan pada Selasa.

“Setakat ini, kita ada empat Baitul Mahabbah iaitu di Nilai, Negeri Sembilan; Papar, Sabah; Miri, Sarawak dan terbaharu di Depot Tahanan Imigresen Tanah Merah.

“Secara keseluruhan kita memiliki seramai 340 kanak-kanak bersama penjaga yang ditempatkan di empat Baitul Mahabbah dan 84 sudah dihantar pulang sejak pembukaan pusat ini pada September tahun lepas,” katanya kepada pemberita.

Baitul Mahabbah dibawah kendalian Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) diwujudkan bagi memastikan hak kanak-kanak terbabit dapat terus dilindungi selaras Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC).

Difahamkan, inisiatif bersifat kemanusiaan itu turut membabitkan ibu kanak-kanak terbabit sebagai penjaga.

Sementara itu sebagai mengulas Baitul Mahabbah di Tanah Merah Saifuddin menjelaskan, lokasi dipilih adalah kerana persekitaran yang kondusif dan berdekatan dengan kemudahan seperti hospital, balai polis serta balai bomba.

BACA LAGI: KDN akan usul lebih banyak Baitul Mahabbah

Antara kemudahan yang disediakan adalah bilik tidur, tandas, ruang kawalan pegawai, stor penyimpanan barang serta taman permainan kanak-kanak.

“Pengoperasian merangkumi penyelarasan aktiviti penjagaan dan pembelajaran, khidmat runding cara, merangka aktiviti harian, mengawasi kanak-kanak serta perancangan pelaksanaan pemantauan program yang bermanfaat kepada mereka seperti membaca, melukis atau menyanyi,” katanya.

Untuk rekod, KDN sebanyak enam Baitul Mahabbah baharu dapat beroperasi sepenuhnya menjelang penghujung tahun ini.

Related Articles

Back to top button