Semasa

Malaysia terus perkasa teknologi AI dalam pendidikan – Fadhlina

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyatakan komitmen Malaysia untuk terus memperkasa kemahiran teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan.

Melalui satu kenyataan beliau berkata, usaha itu akan dilaksana menerusi Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Negara 2021-2025 dan pelaksanaan Dasar Pendidikan Digital (DPD)

“Potensi teknologi AI perlu terus diterokai untuk menyokong matlamat pendidikan dan tanpa meminggirkan nilai-nilai kemanusiaan,” katanya.

Kenyataan itu menyusul lawatan kerja Fadhlina ke Paris, Perancis bagi menghadiri Minggu Pembelajaran Digital Tahun 2024.

Pada lawatan itu beliau yang juga Presiden Suruhanjaya Kebangsaan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Malaysia (SKUM) turut mengadakan pertemuan dengan Timbalan Ketua Pengarah UNESCO Xing Qu.

Dalam pertemuan tersebut Fadhlina telah menyatakan hasrat Malaysia untuk berada dalam kerusi Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi penggal 2025 hingga 2029.

Ia selaras dengan pengalaman, komitmen, imej dan reputasi baik Malaysia selaku negara anggota yang memainkan peranan aktif dalam menerajui program-program yang dilaksanakan di peringkat serantau dan global.

BACA LAGI: Ahli Parlimen ke sekolah mampu bantu selesai isu kemudahan

Selain itu beliau turut mengambil bahagian dalam sesi perbincangan meja bulat bersama-sama dengan pemimpin pendidikan antarabangsa yang lain.

Turut dikongsi ialah inisiatif Malaysia yang sedang giat melaksanakan Reformasi Pendidikan, Kurikulum Persekolahan 2027 serta gerak kerja bagi pelan pembangunan pendidikan yang baharu.

Related Articles

Back to top button