Nasional

Wisma Putra buat laporan polis kebocoran Nota Diplomatik

Kementerian Luar Malaysia akan membuat laporan polis berhubung kebocoran Nota Diplomatik daripada Kementerian Luar China kepada Kedutaan Besar Malaysia di Beijing pada Februari lepas.

Kementerian itu kini menjalankan siasatan dalaman berdasarkan satu artikel oleh portal media Filipina pada 29 Ogos.

“Kementerian memandang serius kebocoran dokumen ini, yang merupakan saluran komunikasi rasmi antara kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Kementerian Luar turut memaklumkan Malaysia dan China berkongsi hubungan dua hala yang erat dan aktif, kerana kedua-dua negara merupakan Rakan Strategik Komprehensif dan sentiasa memperkenalkan usaha baharu untuk meningkatkan lagi kerjasama ini.

“Berkenaan isu Laut China Selatan, kedua buah negara telah menzahirkan iltizam dan komitmen bagi menyelesaikan sebarang isu secara aman menerusi konsultasi dan dialog dengan menggunakan platform sedia ada dan juga melalui saluran diplomatik, tanpa pertelingkahan atau kekerasan.

“Pendirian Malaysia mengenai Laut China Selatan tetap tidak berubah. Malaysia akan terus mempertahankan kedaulatan, hak kedaulatan, dan kepentingannya di kawasan maritim berdasarkan Peta Malaysia 1979. Pendekatan ini selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara universal, termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai (UNCLOS) 1982,” menurut kementerian itu.

Dalam usahanya mengekalkan Laut China Selatan sebagai laut yang aman, stabil, dan untuk perdagangan, kementerian berkata Malaysia akan terus mengutamakan penglibatan diplomatik dengan negara-negara lain, termasuk China.

“Ini selaras dengan peruntukan Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DOC), yang menekankan penyelesaian pertikaian dengan cara damai dan mengelakkan ancaman atau penggunaan kekerasan,” katanya.

Kenyataan itu juga menegaskan bahawa Malaysia kekal komited terhadap rundingan antara negara-negara anggota ASEAN dan China untuk memuktamadkan Kod Tatalaku di Laut China Selatan (COC) yang substantif dan berkesan selaras dengan peruntukan UNCLOS 1982.

Related Articles

Back to top button