KPKM lapor SKMM susulan penularan sebaran palsu babit isu baja
Pejabat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menafikan sebaran palsu membabitkan bekalan baja kepada pesawah yang dikaitkan dengan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Melalui satu kenyataan media, KPKM menegaskan Mohamad tidak pernah mengeluarkan kenyataan “pesawah diminta berjimat cermat menggunakan baja bagi membantu kerajaan” seperti yang ditularkan.
“Pejabat Menteri juga ingin mengesahkan bahawa tangkap layar yang dibuat itu adalah palsu.
“Pejabat Menteri ingin menafikan Menteri Datuk Seri Mohamad Sabu ada mengeluarkan kenyataan ‘pesawah diminta berjimat cermat menggunakan baja bagi membantu kerajaan’ seperti yang ditularkan,” menurut kenyataan itu.
BACA LAGI: KPKM sokong usaha Sarawak majukan projek tenusu
Susulan penyebaran kenyataan palsu itu, satu laporan telah difailkan ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada Khamis bagi membolehkan siasatan dimulakan.
Laporan itu juga bagi memastikan tindakan sewajarnya dikenakan kepada pihak tidak bertanggungjawab yang membuat hantaran palsu dan tidak benar bagi mengelirukan rakyat.