Global

Malaysia tak perlu gusar bantahan China dalam isu Laut China Selatan – Penganalisis

Malaysia tidak perlu gusar terhadap bantahan China terhadap Malaysia yang didakwa melanggar sempadan penerokaan kawasan minyak dan gas berpotensi dibenarkan di Laut China Selatan.

Pakar geostrategi Prof Dr Azmi Hassan dipetik laporan Harian Metro menegaskan Malaysia perlu menggunakan peluang sebagai Pengerusi ASEAN tahun hadapan untuk berbincang untuk mempercepat dan muktamadkan Kod Tatakelakukan (CoC) (di Laut China Selatan) yang tertangguh hampir 15 tahun.

“Kita jangan masuk perangkap pihak ketiga yang membocorkan rahsia nota bantahan tetapi kita cuba perangkap China supaya berbincang secara perundangan terutama sekali CoC kerana sebagai pengerusi, kita boleh membawa hala tuju ASEAN.

“Jadi tak perlu bimbang kerana China menggunakan saluran diplomatik untuk menyuarakan bantahan mereka,” katanya

Sebelum ini media melaporkan kebocoran nota diplomatik dihantar Beijing kepada Malaysia, yang membantah operasi Petronas di kawasan berkenaan.

Nota terbabit yang diterbitkan media Filipina menunjukkan dakwaan Beijing bahawa penerokaan minyak dan gas Malaysia di Laut China Selatan memasuki sempadan wilayah China.

Mengulas lanjut, Azmi turut menggesa Malaysia berhati-hati dengan kumpulan yang membocorkan nota bantahan itu.

“Ini kerana mereka mahu menjerat atau memerangkap kita seperti terjadi terhadap Filipina kerana pertembungan secara fizikal.

“Sebolehnya kita nak elak pertembungan secara fizikal walaupun sebelum ini China membuat bantahan secara fizikal iaitu menyusuri Beting Serupai dan Beting Patinggi Ali.

“Jadi, sekarang ini China menggunakan secara diplomasi, kita selesaikan secara diplomasi,” katanya.

BACA LAGI: Anwar ucap terima kasih kepada Putin atas jemputan ke Sidang Kemuncak BRICS

Untuk rekod, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan penerokaan kawasan minyak dan gas berpotensi di Laut China Selatan tidak akan dihentikan.

Tegasnya, operasi itu dijalankan di dalam kawasan Malaysia dan tiada sebab untuk melakukan tindakan provokatif terhadap China.

Related Articles

Back to top button