Semasa

Agong zahir perasaan sukacita lihat ekonomi bertambah baik

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan perasaan sukacita dengan keadaan ekonomi dan prestasi perdagangan negara yang bertambah baik dan menunjukkan peningkatan.

Perkara itu dinyatakan Seri Paduka Baginda melalui titah pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong pada Sabtu.

Melalui titahnya, Sultan Ibrahim turut menyatakan harapan agar kerajaan terus berusaha merancakkan ekonomi negara sekaligus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan serta taraf hidup rakyat.

“Semua pemimpin dan anggota pentadbiran kerajaan hendaklah pikul amanah dengan penuh tanggungjawab demi kepentingan rakyat dan negara. Elakkan amalan rasuah dan salah guna kuasa,

“Saya juga berharap seluruh rakyat Malaysia akan terus mengekalkan perpaduan, hidup harmoni dan bersatu padu serta berpegang teguh kepada Rukun Negara,” titah Seri Paduka Baginda.

Turut berangkat pada istiadat yang berlangsung di Balairung Seri Istana Negara itu ialah Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

BACA LAGI: Pertumbuhan ekonomi Malaysia kini dalam kelas tersendiri

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong turut menzahirkan penghargaan atas ucapan tahniah dan iringan doa daripada seluruh rakyat jelata sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong hari ini.

“Doa seluruh rakyat jelata sentiasa mengiring setiap langkah saya menjalankan tugas dan amanah sebagai Ketua Negara. Marilah berdoa ke hadrat Allah SWT semoga Malaysia terus dikurniakan rahmat, keberkatan dan kekal aman, makmur dan sejahtera,” titah Seri Paduka Baginda.

Terdahulu Anwar ketika merafak sembah ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong pada istiadat itu berkata kerajaan akan terus menggiatkan usaha memastikan negara terus stabil, di samping mewujudkan ekosistem yang kondusif dan mesra perniagaan.

Related Articles

Back to top button