Semasa

Fadhlina nyata tekad KPM tambahbaik akses pendidikan sekolah pendalaman

Kementerian Pendidikan Malaysia komited menambah baik akses pendidikan sekolah di luar bandar serta kawasan pedalaman Sarawak.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata perkara itu terbukti apabila Program Tindak Susul Parlimen (TSP) dengan tujuan khusus untuk melihat aspek akses pendidikan telah dijalankan di Sibu, Daro dan Mukah pada 6 dan 7 September lalu.

“TSP adalah program turun padang bagi meninjau serta menilai secara langsung isu dihadapi di peringkat sekolah dan seterusnya mencadangkan penyelesaian pada pihak berkaitan.

“Banyak perkara dibangkitkan dan dikongsikan oleh pihak sekolah,” katanya kepada pemberita di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Semah di Daro.

Program TSP di Sarawak adalah siri ketiga tahun ini selepas Selangor pada April serta di Pulau Tioman, Pahang pada Ogos.

Selain SK Nanga Semah, program TSP disertai pengurusan tertinggi KPM serta wakil rakyat tempatan Sarawak kali ini turut mengadakan lawatan ke SK Kg Kut, Daro serta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Oya, Sibu.

Program diteruskan ke Pusat Kegiatan Guru (PKG) Daro, SK Kg Pangtray, SMK Matu, SK Kg Pergau di Daro dan SK Kampong Tellian di Mukah pada Sabtu.

Sementara itu, Fadhlina berkata, antara isu sering dibangkitkan di Sarawak adalah berkaitan infrastruktur serta guru.

BACA LAGI: Malaysia terus perkasa teknologi AI dalam pendidikan

Namun walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, warga pendidik serta murid di Sarawak jelasnya berjaya menunjukkan komitmen serta kehadiran yang sangat baik.

“Di Sarawak antara perkara sering dibangkitkan adalah isu kekurangan guru, kemudahan serta pembangunan. (Namun) apabila kita datang ke sini (Sarawak) kita dapati secara amnya kehadiran anak-anak kita (murid) di sekolah yang kami lawati mencapai 97 hingga 98 peratus dan mereka hanya tidak hadir apabila tidak sihat sahaja,” Tambah Fadhlina.

Related Articles

Back to top button