Semasa

KKR akan runding, usaha realisasi hasrat PM agar kadar tol dikurangkan

Kementerian Kerja Raya (KKR) akan berusaha merealisasi hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar kadar tol dikurangkan.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, rundingan akan dilakukan dengan syarikat-syarikat konsesi lebuh raya sekiranya mereka telah mencapai pulangan daripada pelaburan yang dilakukannya.

“Ini harapan kerajaan. Jadi selepas syarikat lebuh raya ini mencapai ROI (pulangan pelaburan) mungkin pada masa itu boleh dirunding dengan mereka supaya tol dikurangkan.

“Kalau dimansuhkan mungkin ia akan memberikan masalah lain seperti mana kita tidak dapat mengutip kewangan untuk belanja penyelenggaraan, kita takut standard penyelenggaraan lebuhraya kita menurun sebab terlalu bergantung kepada bajet kerajaan,” katanya.

Beliau berkata begitu dalam sidang media pada Ahad selepas Perasmian Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) lestari yang pertama di Lebuhraya Malaysia di R&R Seremban (Arah Selatan) oleh Perdana Menteri.

Terdahulu pada ucapan di majlis perasmian itu, Perdana Menteri berkata,tidak mustahil kerajaan boleh menurunkan kadar tol sekiranya kos pembangunan lebuh raya dapat dikawal selain tidak berlakunya ketirisan dan rasuah.

Beliau menegaskan, apabila berlaku kebocoran, kos akan meningkatkan menyebabkan kadar tol akan dinaikkan.

BACA LAGI: Akta Iltizam Kecekapan Kerajaan bakal diperkenal, kurangkan kerenah birokrasi

“Ini mesti dihentikan. Saya percaya Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk projek yang seterusnya, pastikan kelulusan disegerakan.

Ini boleh berlaku kalau semua bertanggungjawab dan merasakan ini (projek lebuh raya) projek rakyat, katanya yang juga Menteri Kewangan.

Related Articles

Back to top button