Dasar Cerun Negara lebih proaktif sedang dirangka – Menteri Kerja Raya
Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang merangka Dasar Cerun Negara yang baharu bagi menggantikan dasar sebelum ini yang telah tamat tahun lepas.
Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, dengan mengambil kira perkembangan semasa, dasar tersebut akan bersifat lebih proaktif untuk mengurangkan sebarang kejadian seperti tanah runtuh.
“Kita mesti ada satu dasar kebangsaan tentang cerun.
“Kita tidak mengambil ringan sebab kesannya merugikan. Akibatnya harta benda boleh terjejas dan nyawa pun boleh hilang,” katanya ketika ditemui pemberita dalam satu program di Kuching pada Isnin.
Nanta sementara itu berkata, kementeriannya mensasarkan agar dasar berkenaan dicadang dikuatkuasakan bermula tahun ini hingga 2035.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan kementeriannya telah mengenal pasti cerun mudah runtuh di lebih 1,000 lokasi di seluruh negara.
BACA LAGI: Kerajaan pastikan pembangunan di Kuala Lumpur lebih teratur, selamat di masa depan
Susulan itu langkah telah diambil untuk memasang peralatan bagi memantau pergerakan tanah di kawasan-kawasan terbabit.
“Memang JKR (Jabatan Kerja Raya) dari dulu pun sentiasa memantau dan mendapati ada beberapa lokasi mungkin mudah terjadi masalah (tanah runtuh) itu. Jadi untuk mengambil langkah yang lebih proaktif, kita memantau dengan lebih rapi,” katanya.