Semasa

KPM pantau insiden pencemaran bau kimia, arah aktiviti luar kelas dihadkan

Kementerian Pendidikan memantau rapat insiden pencemaran bau kimia yang dilapor berlaku di sekitar Johor Bahru.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, sehubungan itu semua sekolah berhampiran kawasan pencemaran supaya menghadkan aktiviti luar dan menutup sesi pembelajaran sekiranya situasi pencemaran bertambah buruk.

“KPM akan sentiasa memastikan kesejahteraan pelajar dan guru berada di tahap optimum. Oleh itu, garis panduan berdepan pencemaran mesti dipatuhi.

“Dari masa ke semasa kita akan dapatkan nasihat dari agensi berkaitan seperti Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan pencemaran bau yang berlaku terkawal,” katanya pada satu sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari TVET peringkat kebangsaan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana di Kluang.

Minggu lalu, beberapa sekolah di sekitar bandaraya itu dilapor terkesan dengan masalah pencemaran bau kimia yang menyebabkan penduduk khususnya di Kampung Melayu Pandan merasa loya dan pening.

Pencemaran tersebut turut dilaporkan berlaku di tiga taman perumahan di Johor Bahru iaitu Taman Daya, Mount Austin dan Taman Istimewa.

Manakala semalam, pencemaran bau turut dikesan di Kampung Orang Asli Pasir Intan, Kota Tinggi dan di Sungai Skudai, Skudai, Johor Bahru.

Seramai 34 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih mengadu loya selepas terhidu bau busuk ketika sesi pembelajaran bermula.

BACA LAGI: Fadhlina nyata tekad KPM tambahbaik akses pendidikan sekolah pendalaman

Manakala Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Maju Jaya diarah tutup susulan 21 murid sekolah itu mengalami gejala ringan termasuk loya akibat terdedah dengan pencemaran bau yang berlaku di kawasan perkampungan itu sejak awal pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata pihaknya masih menunggu arahan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam memutuskan tempoh penutupan sekolah itu.

Related Articles

Back to top button