Semasa

MAHA 2024: MoU cecah nilai RM21.3 juta dimeterai pada hari pertama

Sebanyak 13 memorandum persefahaman (MoU) nilai mencecah RM21.3 juta berjaya dimeterai pada hari pertama pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, MoU itu merangkumi pembabitan kerjasama strategik antara 10 syarikat dan institusi tempatan serta lapan syarikat dari luar negara dengan kebanyakkannya membabitkan sektor berkaitan tanaman nanas.

“Untuk memastikan kecekapan dan kemampanan pengeluaran makanan dalam komoditi dan industri di Malaysia, mengadaptasi teknologi moden dan amalan pertanian terbaik adalah pendekatan penting.

“Dengan pelaburan dan kolaborasi yang besar, pengeluaran makanan yang mampan ditetapkan untuk memangkin pembangunan industri hiliran boleh mewujudkan kesan berganda yang positif.

“Untuk itu, kolaborasi melalui MoU ini memainkan peranan mustahak dalam mengukuhkan lagi persaingan dalam sektor pertanian di peringkat global.

“Melalui kerjasama antara entiti tempatan dan antarabangsa, MoU seperti ini membolehkan usaha dari aspek pertukaran kepakaran, teknologi dan sumber, memacu inovasi dan amalan mampan dalam sektor,” katanya pada sidang media.

BACA LAGI: Bantu tingkat pendapatan negara, KPKM ganda usaha tingkat eksport pertanian, makanan

Terdahulu Arthur menyaksikan pertukaran MoU itu sempena MAHA 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang pada Rabu.

MAHA 2024 berlangsung sehingga 22 September ini dengan mengetengahkan tema ‘Harvesting Tomorrow Where Dreams Blossom’, sekali gus menandakan penganjuran kali ke-100 acara dwitahunan itu.

KPKM menyasarkan RM6 bilion nilai memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) dimeterai selain turut menyasarkan RM40 juta nilai jualan langsung sepanjang pameran itu berlangsung.

Related Articles

Back to top button