Global

Malaysia akan tangani isu di Laut China Selatan melalui saluran diplomatik – Fahmi

Ketegangan yang semakin meningkat di Laut China Selatan telah dibincangkan secara khusus pada mesyuarat Kabinet dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa.

Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil berkata, Kabinet memutuskan agar semua isu berbangkit di wilayah itu diselesaikan melalui saluran diplomatik.

“Sebarang isu berbangkit akan diuruskan melalui saluran diplomatik,” katanya pada sidang akhbar pada Rabu.

Beijing menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan termasuk kawasan yang dituntut oleh Filipina, Brunei, Malaysia, Taiwan dan Vietnam.

Sebahagian daripada laluan perairan itu merekodkan nilai perdagangan AS$3 trilion setiap tahun yang mana ia kaya dengan simpanan minyak dan gas asli selain menjadi sumber perikanan utama bagi negara serantau.

Mahkamah Timbang Tara Tetap pada 2016 memutuskan tuntutan menyeluruh China tidak mempunyai asas undang-undang.

Awal tahun ini China dilapor telah meningkatkan keberadaan pasukan tentera dan pengawal pantai di Laut China Selatan khususnya di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).

Kehadiran pasukan tentera dan pengawal China itu turut menyebabkan beberapa insiden pertembungan dengan tentera Filipina dengan kejadian terkini dilaporkan pada 31 Ogos lalu.

Wisma Putra baru-baru ini mengesahkan menerima laporan kehadiran kapal asing pelantar minyak luar pesisir di negara ini di perairan Sarawak.

BACA LAGI: Malaysia tak perlu gusar bantahan China dalam isu Laut China Selatan – Penganalisis

Sementara itu Fahmi ketika ditanya sama ada Malaysia akan membawa isu berkenaan pada persidangan di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) berkata, perkara itu tidak dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri berikutan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak menghadiri mesyuarat.

“Menteri Luar akan mewakili Perdana Menteri dan kerajaan ke UNGA tahun ini bersama satu atau dua orang menteri lagi tetapi agenda khusus tidak dibincangkan,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button