Negeri

7 tuntutan MA63 selesai era PM Anwar, bukti komitmen Kerajaan Perpaduan – Fadillah Yusof

Sebelas tuntutan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berjaya diselesaikan setakat ini dengan tujuh daripadanya diselesaikan dalam tempoh dua tahun negara dipimpin Perdana Menteri Ke-10 (PMX) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata pencapaian itu telah memberi isyarat jelas kepada rakyat terhadap komitmen Anwar untuk menyelesaikan tuntutan-tuntutan berkaitan MA63 yang dikemukakan Sabah dan Sarawak.

“Di bawah PMX, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan JKR Sarawak diberi pengiktirafan sebagai Jabatan Teknik yang mana projek bernilai sehingga RM50 juta dikendalikan sendiri oleh JKR kedua-dua negeri.

“Begitu juga penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas, ia diputuskan di bawah kepemimpinan PMX,” katanya.

Fadillah memaklumkan perkara itu melalui satu sidang media susulan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) dipengerusikan Perdana Menteri, di Kota Kinabalu pada Khamis.

Mengulas lanjut Fadillah berkata, pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 (Akta 533) bagi melantik wakil kerajaan negeri Sabah dan Sarawak sebagai anggota tetap LHDN dan isu berkaitan pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak juga diselesaikan di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

“Turut diselesaikan di bawah PMX ialah garis panduan khas penyerahan semula tanah dirizabkan bagi maksud Persekutuan di Sabah dan Sarawak; serta penyerahan kuasa kawal selia elektrik dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) daripada kerajaan Persekutuan kepada kerajaan Sabah.

“Satu lagi ialah cadangan mengenai Pindaan Perkara 95B berkaitan ubah suai bagi Sabah dan Sarawak mengenai Pembahagian Perundangan, Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.

Sementara itu, Fadillah memaklumkan empat perkara dalam rundingan belum mendapat persetujuan daripada Sabah dan Sarawak.

BACA LAGI: Kerajaan MADANI jamin selesaikan segera perkara dipersetujui dalam MA63

Empat perkara itu adalah berkaitan sempadan laut, royalti minyak, duti setem dan tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen mewakili Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun beliau yakin, dengan kebijaksanaan semua pemimpin, isu tersebut akan dapat diselesaikan.

“Empat perkara itu akan terus dibincangkan sehingga satu penyelesaian yang boleh dipersetujui kedua-dua negeri dan Persekutuan dapat dihasilkan,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button