AMK bidas Ketua Pemuda Pas, sifatkan kenyataan Afnan cubaan bina persepsi buruk
Timbalan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kamil Munim menempelak Ketua Dewan Pemuda Pas Afnan Hamimi Taib Azamudden kerana cuba membina persepsi buruk terhadap kerajaan.
Merujuk kenyataan Afnan yang menuduh Kerajaan Perpaduan mengekang hak kebebasan bersuara, beliau menegaskan kebebasan bersuara tidak sama dengan kebebasan menghina, mencerca dan memfitnah.
Malah tambahnya, beberapa kenyataan melampau dibuat Presiden Pas, Abdul Hadi Awang terhadap lawan politiknya juga tidak pernah dikenakan tindakan.
“Presiden parti saudara sendiri tanpa segan silu menggelar pimpinan kerajaan dengan pelbagai gelaran dan hinaan, Kafir, tidak beroleh hidayah, dajal, ejen zionis dan tidak pernah lagi ditutup mulutnya.
“Kenyataan saudara tidak lebih sekadar cubaan untuk membina persepsi bahawa kerajaan hari ini mengekang kebebasan bersuara,” katanya menerusi aplikasi X.
Terdahulu, Afnan yang juga Ahli Parlimen Alor Setar ketika berucap di depan penyokong pada Muktamar Pas di Temerloh menuduh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) cuba menutup mulut pembangkang.
BACA LAGI: Tolak pemikiran ‘ghuluw’, lempar tuduhan’kafir harbi’ sewenangnya – Dr Zulkifli
Bagaimanapun Kamil Munim mencabar agar Afnan tidak sekadar melontar tuduhan jahat terhadap kerajaan, sebaliknya tampil bersama bukti.
“Saya mohon (Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden) untuk nyatakan mulut siapakah yang ditutup oleh kerajaan hari ini,” tambahnya.